Allyfah, anak saya yang nombor dua sudah bertudung sejak sebulan yang lalu. Alhamdulillah, sejuk hati bila dapat tahu yang dia memilih untuk bertudung tanpa dipaksa. Saya memang jenis yang tak suka memaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka sendiri tidak ada hati nak buat. Bukan apa, kalau pakai tudung atas kerana desakan orang lain, lama-kelamaan tabiat itu bukan lekat di dalam hati pun. Apa yang saya boleh lakukan ialah menasihati mereka, itupun selit-selitkan dalam perbualan seharian ataupun bila bergurau. Saya tak kata saya ni mama yang paling bagus tapi setakat ini sayalah mama yang paling hebat sekali untuk anak-anak saya.
Berbalik pada kisah anak saya ini, pada permulaannya, saya ingin mencari lokasi yang sesuai dan cantik bagi sesi foto. Fikir punya fikir saya buntu. Mana lagi tempat yang harus saya pergi, mana nak cari sawah padi, sungai, air terjun ataupun taman-taman permainan. Mana lagi tempat yang tidak habis diteroka? Mana lagi daerah yang harus saya pergi? Jam menunjukkan sudah pukul 11 malam. Esok sahaja lah saya buat keputusan. Maka keesokan paginya saya kejutkan si anak pada pukul 8.30 pagi, kalau nak mama ambil gambar yang cantik, kena cahaya matahari yang tidak terlalu terik, saya katakan pada Allyfah. Nasib baik mood paginye ok. Kalau pasal melawa, memang anak-anak perempuan suka. Lagi-lagi bila saya menawarkan kepadanya untuk di’make-up’. Lokasi yang saya pilih sangat sesuai dengan jiwa anak saya. Mana lagi kalau bukan bilik nya sendiri yang dikongsi dengan kakak dan adik yang bongsu. (Anak sulung saya masih lagi di PLKN). Senang, bukan tempat asing bagi dirinya di mana menyenangkan lagi tugas saya. Dengan cahaya matahari yang melimpah ruah pagi itu, dan juga dengan sedikit solekan nipis, maka sesi pun bermula.
Pilihan tudung dan baju memainkan peranan yang penting dalam sesuatu sesi foto. Macam orang nak buat kuih, setiap acuan haruslah betul dan cukup dalam menghasilkan kuih yang paling enak untuk dimakan, kalau salah satu terlebih maka sudah tentu kuih tidak jadi. Sama juga dengan sesi foto, semua elemen harus ada dalam membentuk satu keharmonian. Ia tidak boleh dipaksa dan haruslah dilakukan dalam suasana tenang dan paling penting ada element fun.
Lokasi pada saya adalah soal kedua. Saya ulang ya, lokasi pada saya adalah soal kedua. Saya ingin mengajar diri sendiri supaya belajar melihat dan menggunakan apa sahaja yang ada di depan mata. Make do and mend kata orang putih. Belajar melihat dari pandangan yang berbeza dari biasa. Itu yang penting. Jadi tak perlu rumah yang besar dan perabot yang mahal untuk saya.
Apa yang saya nak tekankan di sini ialah anda tak perlu risau kalau rumah anda sempit, tiada perabut mewah dan sebagainya, seseorang photographer seharusnya tahu bagaimana untuk menggunakan apa saja yang ada di depan mata, dan tanpa berlebih. Bak kata “less is more”.
Lokasi adalah secondary, jadikan subjek anda primary.