MENU
Share this...
Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter

DSC_7645

Minggu 19/52

..agar Khaled sentiasa ingat, selepas hujan ribut, langit selalunya akan menjadi terang dan pelangi yang indah akan muncul. Dalam melangkah, kita pasti akan terjatuh dan terluka, Khaled perlu bangun, kuatkan semangat, teruskan perjalanan walaupun terpaksa bertatih, ingat, setiap luka itu sebenarnya adalah ubat nak, yang akan membersihkan hati khaled dan membuatkan khaled senantiasa beringat dan rendah diri. Hidup kita tak lama, semuannya pinjaman dari Allah, kekayaan, ilmu, semua itu pinjaman. Semua itu Allah yang punya. Jangan pernah kecewa dalam mengharapkan pertolongan dari Allah SWT.

..agar Khaled menghormati wanita sepertimana Khaled menghormati mama, ingat wanita itu insan yang sangat lembut hatinya, sekeras-keras kerak nasi, kalau rendam di dalam air lama-lama akan jadi lembut, begitulah jua hati wanita. Apabila Khaled sudah ada buah hati, jaga hatinya dengan baik, biarlah kita mengalah nak, tak mengapa. Khaled kan khalifah, khaled perlu sabar banyak. Tapi nak, kalau hati khaled dilukai kerana cinta, cepat-cepat hubungi mama!

…agar Khaled mewarisi sikap babah yang sangat penyabar dan sangat penyayang. Walaupun dibebani beribu masalah namun tidak pernah sekali pun mama mendengar dirinya mengeluh hampa dan putus harapan, jadilah seperti babah mu nak, seorang yang tidak banyak cakap namun mindanya sangat tajam dan setiap perkataan yang keluar dari mulutnya adalah umpama emas!

..agar Khaled sentiasa ingat untuk ketawa, bergelak gembira riangkan hati, hidup ini terlalu singkat untuk bermuram. Masalah tidak akan surut sayang, walaupun difikirkan sehari semalam, makin berkerut dahi jadinya, nanti tampak tua sebelum waktunya!

…agar Khaled jangan terlalu cepat menghakimi seseorang. Biarpun rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Ingat sayang, itu bukan tugas kita. Ada mata kita pandang, ada telinga kita dengar, ada mulut kita diam.

….agar Khaled pergi mengembara serata dunia. Bertemu kawan baru, perspektif yang berbeza, langit yang berbeza. Pergilah sayang, tapi ingat pastikan setiap kali pergi merantau, mama harus diberitahu. Paling tidak hantarlah sms.

…agar Khaled tidak pernah lupa Allah SWT walau dimana Khaled berada. Bersuka ria itu tidak salah nak, tapi harus ingat, nanti satu hari Khaled akan mengadap DIA. Jadi pastikan Khaled penuhkan buku Khaled dengan yang baik-baik sahaja. Andainya Khaled tersalah langkah, tidak mengapa, itu pengajaran. Tapi jangan dibuat kali kedua. Sujudlah padanya nak. Mintalah keampunan darinya kerana dia Al-Ghafur.

…Please please please belajarlah memasak satu atau dua resipi pun cukup agar mama tidak risau Khaled kelaparan bila berjauhan dari mama. Masak sendiri itu lagi sedap sebenarnya walaupun lauknya hanyalah ikan sardin dan nasi panas. Belajar survival nak. Belajar masak nasi. Belajar goreng ikan. Dan nanti bila Khaled sudah beristeri, cubalah masak untuk dia. Pasti bahagia.

….agar Khaled tidak taksub berhutang untuk memiliki kereta ataupun rumah. Itu semua boleh tunggu. Yang penting, pergi mengembara dulu! Pergi isikan dadamu dengan ilmu yang tidak boleh diperolehi semasa di sekolah ataupun mana-mana universiti.

…agar Khaled lakukan apa yang Khaled paling suka untuk hidup. Kalau Khaled suka melukis, jadilah pelukis, kalau Khaled suka memasak, jadilah Chef yang handal, pokoknya Khaled boleh jadi apa sahaja yang Khaled mahu tapi pastikan Khaled jadi yang terhebat! Mama sentiasa doakan yang baik-baik sahaja untuk Khaled dan juga kakak-kakakmu.

…Harapan mama agar Khaled ingat, kalau mama sudah tiada di dunia lagi, jangan lupa mama, jangan pernah lekang berdoa untuk mama ya sayang. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Comments

am touched reading this.. so inspiring kak min

awwww…thank you milin!

Add Your Comment

CLOSE