MENU

lifestyle & documentary photographer

Into the future

18/03/2012

Kebiasaannya bila kita melihat kembali gambar-gambar yang telah dirakamkan pada suatu majlis perkahwinan atau majlis keramaian, kita hanya melihat secara sambil lewa saja tanpa pernah memikirkan betapa memori yang dirakamkan semasa majlis itu adalah suatu memori indah dan berharga, yang tidak ternilai dari segi wang ringgit dan sebagainya. Masa itu EMAS. Anda tidak boleh beli masa, walau sekaya mana pun.

Jadi ini membuatkan saya terfikir, untuk entri kali ini, saya nak anda-anda semua ikut saya ke suatu masa ke hadapan (kira macam into the future), mungkin 20 tahun akan datang, tak tahu lah jikalau saya masih ada atau tidak, tapi insyallah, untuk entri kali ini buat-buat macam saya adalah. Saya sebagai seorang nenek menceritakan kepada cucu-cucu saya dengan gambar-gambar yang “atok” azlan rakamkan sewaktu majlis baca doa kesyukuran merangkap sambutan harijadi yang ke-18 untuk anak sulung saya, Alya Amirah dan juga harijadi anak saudara saya yang ke-17, Ateera Kamaliah.

Sedia???

Kita mula………………………

………………………………………………

Cucu-cucu nenek,

Gambar ini atok lan tangkap masa harijadi yang ke-18 mama kamu dan juga harijadi yang ke-17 makcik saudara kamu pada 11 March 2010. Memang nenek tau harijadi mama kamu dan harijadi makcik Ateera kamu bukan jatuh pada 11 March tapi tau tak dalam bulan march itu sahaja ada dekat 5 harijadi. Jadi untuk menjimatkan cake dan paling penting wang, waakaaakaka (<—–ini tandanya nenek gembira ok)…nenek dengan nenek Long biasanya akan mengabungkan harijadi semua jadi satu. Senang kan….nanti kalau kamu dah punya anak sendiri, baru faham ok, sekarang ni buat-buat faham jer…..

Naaa…lihat mama kamu masa umur dia 18 dan makcik Ateera, cantik bukan, sweet 18 and sweet 17, satu usia yang penuh dengan kemanisan, kemasaman dan juga kekadang kekalutan. Bukan apa, biar nenek bagitau, mama kamu seorang anak yang “CUKUP” bagi nenek. Cukup dengan kasih sayang, cukup dengan perangai keras kepala dia kadang-kadang, cukup dengan perangai suka menangis, cukup dengan segala-galanya. Makcik Ateera kamu pula seorang yang sangat “ROCK” dan sangat cool. Sangat terer dalam bidang muzik juga…

Mama kamu memang sangat rapat dengan makcik ateera sebab mama kamu cucu yang pertama dan makcik ateera pula ialah cucu yang kedua dalam keluarga nenek. Perbezaan umur yang kurang setahun pun sebab mengapa mereka berdua ini sangat akrab. Kalau berjumpa, pasti ada seorang yang terjerit-jerit dalam bilik tidur dan seorang lagi terbahak-bahak ketawa, mungkin berkongsi kisah cinta memasing. Hahahahaha (<—–nenek gelak tapi geram, faham kan).

Rumah nenek waktu dahulu kecil tapi sangat penuh dengan seribu satu kisah. Ada kisah sedih, ada kisah gembira. Biasalah, kalau tiada suka-duka maka tiadalah ketawa girang kan. Itu semua resam hidup. Nenek harap cucu semua “take it one day at a time”. Nenek speaking english jap. Tiada apa yang kekal kecuali Allah. Ingat pesan nenek, jangan lupa sembahyang. Yang gambar tengah tu lah moyang. Nama moyang Hj. Mohd Ramli. Panggil moyang ramli. Moyang sangat HEBAT. Sangat sayang cucu. Kalau cicit ada masa itu, mesti moyang ramli cium dan gomol macam pakcik Abit kena ni. Kalau tengok pakcik Abit sekarang ini, sangat berbeza kan. Nasib baik ada atok lan ambil gambar kan….

Moyang baca doa sebelum potong birthday cake. Apa-apa pun kena mula dengan DOA.

Beriya benar mama kamu tiup kan. Tengok kat belakang tu, moyang Salmah. Yang hujung itu Tok Li. Mulut semua muncung kan macam sama-sama tiup lilin kat cake.

Moyang Ramli sedang menikmati satay. Moyang Ramli memang seorang yang suka makan. Bila makan, dia tak pernah membazir. Bila makan, dia betul-betul menikmati makanan itu. Kamu semua jangan membazir makanan. Masa Moyang Ramli masih lagi budak, ayah moyang meninggal dunia (kira your great grandparents lah). Jadi Moyang Ramli hidup membesar tanpa seorang ayah. Tapi itu tidak bermakna, hidup kena hancur kan.  Moyang Ramli berasal dari Kg. Baru. Dari kecil, dia dah pandai cari wang saku sendiri. Jaga parking kereta antara kerja moyang Ramli masa budak-budak dahulu. Tapi Moyang Ramli ini seorang yang intelligent. Dia habis sekolah, terus berkerja dalam sektor kerajaan. Dari bermula kerani, naik pangkat ke Pengarah sampai dia bersara. Dulu Moyang Ramli pernah terjatuh sewaktu bertugas di Masjid (lepas bersara), kemudian tulang pinggolnya patah. Masa itu moyang dah berumur 69 tahun. Tapi Moyang Ramli ni punya semangat yang kuat. Dari berjalan menggunakan tongkat sampai boleh berdiri sendiri, semua itu dengan usaha sendiri dan bantuan terapi sampai doktor pun terkejut dengan semangat kuat Moyang Ramli. Tak mustahil juga, kamu punyai semangat yang sama kan. Dah darah Moyang Ramli mengalir dalam badan kamu semua. Jangan cepat putus asa!

Dapat ciuman POWER!

Ini bergambar dengan Moyang Ramli dan juga Moyang Salmah. Sekarang cucu semua tahu kan mana dari mana datangnya kecantikan mama kamu itu….hehehe..Moyang Salmah ini pun seorang yang sangat HEBAT. Pandai masak, almaklumlah orang Melaka. Waktu dulu, nenek suka duduk dapur, sambil memasak sambil mendengar Moyang Salmah bercerita pasal kisah-kisah dahulu, zaman Jepun datang menjajah, zaman 13 Mei dan macam-macam lagi. Masak asam pedas yang cucu semua suka nenek masak itu, nenek belajar dari Moyang Salmah lah. Hebat kan…baru masak asam pedas, belum lagi gulai kambing, masak lemak rebung ikan tenggiri, sambal belacan..terliur pulak nenek……

Dari kiri : Makcik Ateera, Nenek, NekLong, Mama dan yang duduk bawah tu NekSu.

Mama kamu ni tak boleh duduk diam. Bila ada cuti sekolah sahaja, mesti dia kerja. Cari duit poket sendiri..macam Moyang Ramli kan. Ini mama kamu rasa sangat suka sebab dapat belikan makcik ateera hadiah dari duit sendiri. Masa ini, mama kamu sedang menunggu keputusan SPM. Sambil tunggu keputusan, mama kamu berkerja sambilan. Walaupun sedikit, tapi tiap-tiap bulan memang tak pernah miss bagi nenek sedikit. Mama kamu kata nak ambil berkat. Naahhh…kan nenek kata mama kamu memang CUKUP untuk nenek…

Makcik Ateera terlampau suka sangat hadiah itu sampai tak dapat nak cakap. Jadi senang dia menangis. Mama kamu pun menangis.

Masa ini bukan sahaja mama dan makcik aterra yang menangis, tengok kat sebelah kiri tu, Nenek dengan NekLong pun menangis sama.  Iyelah sedih. Sekejap sahaja, masing-masing sudah punya anak dara. Masa itu sangat pantas berlalu. Atok Azlan memang boleh dapat award “Fearless Photographer” dengan gambar ini. Sangat meruntun jiwa nenek….

Menangis, menangis tapi makan tetap makan…..

Pakcik Atif pula menambah suasana sedih, dia hulurkan duit sepuluh ringgit pada mama korang dan juga makcik ateera, katanya birthday present. Dia boleh bagi duit sepuluh ringgit sahaja sebab masih sekolah. Lepas tu Tok Li sound kat Pakcik Atif “Tif, ko jangan nak claim lak lepas nih!” Semua terbahak-bahak.

Menangis lagi…………

Giliran mama kamu pula yang dapat hadiah dari NekLong, dan mama kamu emo sedikit masa membaca kad birthday….

Baru baca sedikit…..

Dah mula………..

Inilah mama kamu, nampak macam garang tapi sebenarnya hati lembut bak kapas! Iyelah mungkin susah semasa itu, berumur 18 tahun, still figuring out life, why? what? how? semua question mesti ada answer kan, cuma cepat atau lambat sahaja kita dapat jawapan itu. Life is full of mystery. We never know what to expect. But one thing I can assure you is that I love your Mama with all my heart and she will always be my sweet little Yaya to me.

Love, your nenek.

MIN.

comments

[…] sudah meningkat dewasa. Baru dua tahun lepas mama ingat kita baru saja meraikan harijadi awak yang ke-18, sedar tak sedar sekarang ini umurnya sudah naik 2 anak tangga. Iyer, sekarang awak sudah berumur […]

add your comment

CLOSE